Biar mati anak jangan mati adat. Ungkapan ini memberitahu kita betapa sesuatu bangsa itu wajib memelihara dan mengamalkan adat yang telah dipusakai dari nenek moyang setiap kaum di negeri Sabah khasnya dan di negara Malaysia amnya. Kita dituntut memelihara adat sebagaimana kita menyayangi anak-anak kita.
Adat lumoput ini dapat disaksikan semasa pesta perkahwinan masyarakat Rungus atau Momogun. Suku kaum rungus adalah penduduk diutara negeri Sabah. Walau bagaimanapun disebabkan oleh faktor ekonomi dan perkahwinan maka suku kaum rungus boleh ditemui di seluruh negeri Sabah maupun di semananjung. Adat lumoput merupakan kemuncak kepada satu-satu pesta perkahwinan suku kaum rungus.
Adat Lumoput ini merupakan upacara penerimaan menantu oleh ibu bapa yang berkahwin yakni ibu bapa pengantin lelaki atau perampuan. Pengantin akan memberi hadiah kepada ibu bapa mertua sambil menyebut mertua atau IVAN dalam bahasa momogun. Mertua akan menyambut hadiah tersebut sambil berterima kasih dengan memberi nama pangilan (gelaran) kepada menantu seperti USAU, KONDU, OSONG dan sebagainya. Pangilan atau gelaran ini menandakan penerimaan dan pengesahan pengantin tersebut sebagai sebahagian daripada anak-anak didalam keluarga itu.
Pada masa dahulu, hadiah yang diberikan oleh pengantin kepada mertua dan keluarga mertua adalah sirih dan kapur. Makan sirih merupakan budaya masyarakat momogun pada masa itu. Menikut peredaran zaman dan memandangkan sudah ramai masyarakat momogun yang tidak lagi mengamalkan makan sirih maka hadiah ditukar kepada benda-benda samada makanan atau wang mengikut kemampuan pengantin. Hadiah ini hanya sebagai simbolik sahaja sedangkan yang terpenting dalam upacara ini adalah kerendahan hati pemberi dan keterbukaan penerimaan dipihak yang menerima.
Mertua dalam konteks ini termasuklah datuk/nenek dan adik beradik dan adik beradik ibubapa serta sepupu-sepupunya.
Pada masa dahulu upacara ini dilaksanakan dengan semua mertua diatas duduk bersilah diatas lantai dan pengantin akan pergi bersalaman dihadapan setiap mertua tersebut sambil mengatakan ucapan "Nah Ivan"(terimalah ini hai mertuaku). Pihak mertua akan menyambut dengan mengatakan "Kounsikou Kondu/Usau/Osong" (terima kasih .... gelaran)
Dengan sempurnanya upacara adat lumoput ini, maka sahlah pengantin tersebut menjadi anak mereka.
No comments:
Post a Comment